comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengasuh ditahan akibat kematian bayi 3 bulan

Foto hiasan

PETALING JAYA: Seorang pengasuh berusia 31 tahun ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian bayi perempuan yang dijaganya pada 9 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata wanita terbabit ditahan di kediamannya pada 13 Mei lalu di daerah ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap bayi yang berusia tiga bulan di rumahnya sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan mangsa boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Terdahulu, bapa bayi berkenaan Abdur Rahman Abdullah, memuat naik maklumat mengenai kematian anaknya di rumah pengasuh terbabit menerusi Facebook.

Abdul Rahman menyatakan dia dan isterinya ada membuat kiriman di Facebook mencari pengasuh untuk anaknya yang berusia tiga bulan di sekitar Bandar Sunway, sebelum menemui pengasuh terbabit yang tinggal berhampiran kediaman mereka.

“Selepas lima hari (tidak termasuk tiga hari percubaan) saya menghantar bayi ke rumah pengasuh, anak saya meninggal dunia di kediaman pengasuh itu.

“Kehilangan anak saya sangat menyakitkan, lebih-lebih lagi bagi isteri saya dan kami telah membuat laporan polis semoga Allah menegakkan keadilan demi anak kami dan berharap perkara ini tidak terjadi kepada orang lain,” katanya.

Lebih menyedihkan Abdur Rahman, bayinya yang meninggal itu adalah pasangan kembar dan pasangannya telah meninggal dunia sembilan hari selepas dilahirkan di sebuah hospital di Kelantan, akibat pendarahan dalam otak.

Loading...
Terkini