
ALOR GAJAH: Polis memberkas seorang pengawal keselamatan hari ini bagi membantu siasatan kes disyaki mencabul pesakit lelaki di sebuah tandas klinik pergigian di sini, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek berusia 19 tahun itu ditangkap jam 12.05 tengah hari di hadapan klinik pergigian terbabit.
Menurutnya, penahanan dibuat anggota Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hasil siasatan dilakukan ekoran laporan dibuat pengadu.
Katanya, kejadian berlaku pada 28 Januari lalu ketika pengadu yang juga penuntut universiti swasta berusia 19 tahun selesai menjalani rawatan di klinik pergigian terbabit.
“Pengadu menyatakan dia bertanya mengenai tandas awam kepada seorang pengawal keselamatan dan suspek menunjukkan lokasinya.
“Bagaimanapun, ketika berada di dalam tandas, pengadu ternampak suspek seperti mengintainya sebelum lelaki itu mengetuk pintu dan menyuruhnya membuka lampu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Md Nazri berkata, menurut pengadu ketika membuka sedikit pintu untuk menekan suis lampu di luar suspek cuba masuk ke dalam tandas dengan menolak pintu dan memegang kemaluannya.
“Pengadu yang terkejut dan takut terus menolak suspek sebelum menutup semula pintu dan keluar selepas suspek beredar dan membuat laporan di kaunter aduan klinik dan di balai polis,” katanya lagi.
Beliau berkata, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok di Mahkamah Majistret Alor Gajah.
“Ujian saringan awal dijalankan mendapati urin suspek negatif dadah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.