comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengawal keselamatan cabul, rogol dua anak tiri sejak di sekolah rendah

Suspek pengawal keselamatan direman enam hari hingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki merogol dan mencabul dua anak tirinya.-Foto: NSTP

MELAKA: Perbuatan ‘haruan makan anak’ seorang pengawal keselamatan yang merogol dua anak tirinya terbongkar apabila dia dicekup polis, malam tadi.

Suspek, 27, ditahan polis di pondok kawalan tempat dia bekerja di Bukit Baru, di sini, kira-kira jam 11 malam tadi susulan laporan dibuat isterinya, 39, di Balai Polis Batang Tiga.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi berkata pengadu yang juga perniaga burger membuat laporan selepas dimaklumkan dua anak perempuannya mengenai kejadian itu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 15 dan 13 tahun itu nekad menceritakan detik hitam diraba dan dirogol kepada ibu mereka ketika berada di rumah pada jam 7.30 malam tadi, namun dinafikan suspek selepas disoal pengadu.

Katanya, hasil siasatan awal, kedua-dua mangsa mendakwa kejadian berlaku semasa ketiadaan pengadu di rumah kerana keluar berniaga antara jam 5.30 petang hingga 10.30 malam, bermula sejak mereka bersekolah rendah lagi.

“Si kakak mendakwa dirogol oleh bapa tirinya sebanyak empat kali iaitu sejak di Tahun 4, manakala adiknya dirogol pertama kali pada 2 Januari lalu di bilik tidur suspek. Selain itu mereka memberitahu sering dicabul oleh suspek sejak di sekolah rendah lagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Md Nazri, siasatan mendapati pengadu dan suspek berkahwin sejak tujuh tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

Md Nazri berkata, kedua-dua mangsa pada mulanya tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa kerana takut ibu mereka tidak mempercayai perbuatan suspek.

Namun, mereka akhirnya terpaksa menceritakan hal sebenar selepas disoal oleh nenek mereka.

Suspek ditahan reman enam hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini