comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengerusi Jawatankuasa PPS ditahan palsukan tuntutan banjir untuk anak

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang Pengerusi Jawatankuasa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sebuah daerah kerana disyaki terlibat dalam memperakui borang bantuan bencana banjir yang mengandungi maklumat peribadi palsu pada 2022.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

Difahamkan borang terbabit berkaitan maklumat ketua isi rumah atas nama anak kandungnya sendiri bagi mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 yang sebenarnya anaknya tidak layak untuk bantuan berkenaan.

Jelasnya lagi, BWI berjumlah RM1,000 merupakan inisiatif kerajaan dalam memberi bantuan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan sambil memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, bagaimanapun suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangan suspek selesai diambil.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini