comscore
Tumpuan :
Jenayah

Peniaga runcit rugi hampir RM1 juta ditipu individu menyamar polis

Foto hiasan

ALOR GAJAH: Seorang peniaga kedai runcit mengalami kerugian selepas wang simpanannya berjumlah RM922,300.87 lesap sekelip mata.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan dibuat pengadu berhubung kejadian itu semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu umur sekitar 50-an menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Tan’ dari Perak.

Suspek pada mulanya menyatakan terdapat seorang pengurus sebuah bank yang sudah berhenti kerja melakukan aktiviti penipuan dengan menggunakan akaun bank pengadu.

“Namun, mangsa menafikan terbabit dalam kes itu sebelum diminta oleh suspek mengikut arahannya jika tidak mahu ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian diarah untuk meninggalkan kad mesin juruwang automatik (ATM) bank miliknya berserta no pin di sebuah tempat di Simpang Ampat, di sini, pada 20 Disember lalu tanpa perlu berjumpa suspek.

Seterusnya pada 3 Januari lalu, pengadu diarahkan pula untuk mengeluarkan cek atas nama sebuah syarikat suspek berjumlah RM420,000 yang mana mangsa akur dan memasukkan di mesin cek sebuah bank cawangan Alor Gajah.

“Pengadu kemudiannya membuat semakan di akaun bank miliknya di cawangan Pulau Sebang dan terkejut mendapati ada beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun banknya ke akaun tidak dikenali bermula dari 21 Disember lalu hingga 8 Januari lalu berjumlah RM502,300.87,” katanya.

Arshad berkata suspek sekali lagi menghubungi mangsa semalam meminta dia membuat transaksi lain, namun tidak diendahkan pengadu yang baharu tersedar dia ditipu dengan kerugian sebenar berjumlah RM922,300.87.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini