comscore
Tumpuan :
Jenayah

Peniaga sayur rugi hampir RM1 juta dijerat sindiket dalam talian

KUANTAN: Seorang warga emas yang juga peniaga sayur di Cameron Highlands, kerugian RM958,088 akibat terperdaya dengan sindiket jenayah dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, terdahulu mangsa lelaki berusia 69 tahun itu dikatakan menerima panggilan melalui aplikasi Facebook daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai bank di Dubai, 30 Mac tahun lalu.

Beliau berkata, suspek didakwa memberi tawaran kepada mangsa supaya mengaku sebagai saudara kepada seorang pendeposit sebanyak AS$26,700,000 yang telah meninggal dunia.

“Mangsa dijanjikan sebanyak 50 peratus daripada tuntutan terbabit sekiranya bersetuju dengan tawaran itu.

“Suspek kemudian dikata menyambungkan talian kepada seorang peguam yang menguruskan segala transaksi berhubung bayaran dikenakan terhadap mangsa seperti cukai, levi, bayaran anti pengubahan wang haram dan sebagainya.

“Susulan itu, mangsa melakukan 70 kali transaksi ke dalam 26 akaun bank berbeza dari 9 Mei 2023 hingga 11 Mac lalu, namun tidak mendapat sebarang bayaran yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yahaya berkata, hasil siasatan mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada simpanan sendiri.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis, semalam.

Justeru, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan, supaya segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Selain itu, katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenang mendedahkan maklumat perbankan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini