KUANTAN: Seorang peniaga wanita berusia 34 tahun di Rompin kerugian RM136,700 selepas terpedaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi Digital dan polis.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada Bahagian Sekuriti Siber Kementerian Komunikasi Digital Putrajaya pada 2 September lalu.
Katanya, suspek memaklumkan bahawa terdapat aduan terhadap nombor telefon mangsa terbabit dalam kegiatan ‘scammer’.
“Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan mengatakan bahawa mangsa juga terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.
“Suspek mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan mendaftarkan semua maklumat perbankan dan jumlah wang simpanan mangsa.
“Mangsa diarahkan untuk memindahkan RM136,700 melalui mesin juruwang automatik (ATM) sebanyak enam pindahan kepada dua akaun yang diberikan suspek.
“Sumber wang kerugian ini adalah daripada simpanan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.