KULAI: Seorang penjaga sebuah rumah anak yatim di Taman Mas, Kulai di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang penghuninya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek lelaki berusia 59 tahun itu diberkas berikutan laporan diterima pihaknya pada jam 9.48 malam 29 November lalu.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah anak yatim swasta yang dihuni remaja perempuan berusia 17 tahun itu.
“Mangsa disyaki dirogol penjaga warga tempatan itu sejak 2020 hingga 2022. Ketika kejadian, mangsa berusia 13 hingga 15 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Bertindak atas maklumat, beliau berkata, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, melakukan serbuan dan tangkapan di sebuah rumah di Taman Mas, kira-kira jam 3 pagi 30 November lalu.
Katanya, suspek kini direman hingga 10 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.