comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penjawat awam antara 10 ditahan, lebih RM2 juta dadah dirampas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: 10 individu termasuk seorang penjawat awam yang disyaki dalang pengedaran dadah ditahan dan pelbagai dadah bernilai lebih RM2 juta dirampas dalam dua operasi berasingan di seluruh negara.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bermula 5 September lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pasukan melancarkan Op Telomian di sekitar Taman Bukit Cheras, Desa Tun Razak, Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor.

“Seramai tiga lelaki dan dua wanita termasuk warga Thailand yang disyaki ahli sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan dalam serbuan berasingan di rumah dan kereta Perodua Myvi.

“Hasil pemeriksaan merampas dadah jenis syabu, ganja dan pil erimin 5 anggaran berat 50.33 kilogram (kg) selain merampas pelbagai peralatan seperti penimbang digital, pelekat dan plastik.

“Ekoran kesemua tangkapan itu, serbuan juga dibuat ke atas sebuah kuarters kerajaan di Kajang dan menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai mendalangi aktiviti pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut melancarkan empat siri serbuan menerusi Op Tosa di Taman Perdana; Kota Puteri, Masai; dan Kempas Indah, Johor Bahru.

Beliau berkata, serbuan itu menahan tiga lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah.

Katanya, pemeriksaan pada sebuah motosikal, kereta Honda City dan dua rumah menemui sejumlah 5.606 kg dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba serta 499 biji pil erimin 5.

“Hasil kesemua serbuan itu, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM2 juta. Polis turut menyita tiga kereta, wang tunai RM68,046 dan lima barang kemas dengan keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM151,416.

“Modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dalam kuantiti besar sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna di pasaran tempatan.

“Dadah yang dirampas boleh diguna oleh kira-kira 30,000 orang penagih,” katanya.

Katanya, semakan mendapati empat daripada 10 suspek ditahan positif methamphetamine manakala tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini