comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Penjual nasi ekonomi mati ditikam 27 kali

 

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang penjual nasi ekonomi maut ditikam dua individu menaiki motosikal di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Taman Continental, Jelutong, di sini, petang tadi.

Mangsa, Teh Teik Chye, 60, disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang ketika menerima rawatan selepas mengalami cedera parah di bahagian dada, leher dan perut akibat ditikam dengan pisau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritenden V.Saravanan berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat pada jam 6.18 petang berhubung pergaduhan di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, terdapat saksi yang melihat kejadian itu yang menghubungi pihak berkuasa dan ambulans.

“Pemeriksaan awal mendapati 27 kesan tikaman pada bahagian dada, leher dan abdomen mangsa, dipercayai menggunakan pisau.

“Mangsa sempat dibawa ke hospital menaiki ambulans, namun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lif dan pondok pengawal pangsapuri.

Katanya, rakaman itu mendapati dua suspek lelaki dilihat menaiki motosikal memasuki kawasan perumahan berkenaan.

Seorang daripada mereka kemudian bertindak menikam mangsa, manakala seorang lagi menunggu di motosikal sebelum kedua-duanya melarikan diri.

“Kita masih menyiasat motif kejadian, setakat ini dipercayai bukan bermotifkan samun tetapi bertujuan untuk membunuh mangsa yang tinggal di pangsapuri ini.

“Mangsa juga mempunyai rekod jenayah lampau, namun sekarang dia menjual nasi ekonomi di Pasar Awam Jalan Perak,” tambahnya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Loading...
Terkini