comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Penolong akauntan disyaki pecah amanah RM24.8 juta

Oleh: Akmaliah Razak 

GUA MUSANG: Seorang penolong akauntan sebuah jabatan kerajaan ditahan semalam selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan jumlah RM24.8 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 12.21 tengah malam di kediamannya di Bandar Gua Musang.

Katanya, lelaki terbabit ditahan susulan satu laporan polis telah dibuat oleh kakitangan jabatan berkenaan berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan Bahagian Kewangan melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari tempoh Disember 2016 hingga Mei 2023.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

“Hasil siasatan awal yang dibuat oleh pihak polis, kejadian salah laku ini telah dilakukan oleh lelaki berkenaan sejak tahun 2016 hingga Mei 2023.

“Suspek telah membuat pemindahan wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik jabatan terbabit ke akaun syarikat milik suspek dengan jumlah keseluruhan RM 24,800,189.73 melibatkan 194 transaksi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, suspek telah ditahan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini, hingga 2 Jun 2023.

Kes disiasat dibawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini