JOHOR BAHRU: Seorang penyelia kilang kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulang lumayan menerusi aplikasi TikTok.
Wanita tempatan berusia 47 tahun itu mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas gagal memperoleh pulangan keuntungan hasil jualan yang dibuat.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mangsa yang membuat laporan polis semalam mendakwa berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi TikTok pada hujung Julai lalu yang seterusnya berkomunikasi di aplikasi sembang, Line.
Beliau berkata, individu terbabit menawarkan mangsa untuk berniaga dalam aplikasi TikTok Mall dengan menjanjikan pulangan yang tinggi, mudah dan cepat.
“Mangsa diyakinkan dia hanya perlu memilih jenis barang yang hendak dijual dan mendahulukan wangnya bagi pembelian barang yang ditempah oleh pelanggan.
“Wang itu dijanjikan akan dikembalikan kepada mangsa bersama keuntungan pada kadar 20 hingga 30 peratus selepas pelanggan membuat pembayaran.
“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu memilih untuk menjual barangan susu bayi dan diberi pautan untuk melihat tempahan yang dibuat pelanggan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang individu memperkenalkan diri sebagai operator TikTok selepas terdapat tempahan pembelian daripada pelanggan pada pautan yang diberi.
“Individu itu mengarahkan mangsa membuat pembayaran atas nilai tempahan yang diterima. Mangsa kemudian membuat pembayaran pertama ke akaun bank yang diarahkan dan pada tarikh yang sama ada menerima kembali wangnya berserta 50 peratus keuntungan, lebih tinggi daripada kadar yang dijanjikan.
“Ia menyebabkan mangsa percaya perniagaan itu adalah betul dan oleh kerana percaya tempahan pelanggan semakin meningkat, selain mahu mendapat keuntungan lebih tinggi, mangsa mengikut arahan yang diberikan dengan membuat pembayaran ke pelbagai akaun bank secara berperingkat berjumlah RM1,041,100 antara akhir Julai sehingga September ini,” katanya.
Kumar berkata, bagaimanapun mangsa mendakwa tidak menerima kembali bayaran yang dibuat serta keuntungan dijanjikan menyebabkan mangsa mengesyaki dia ditipu, malah gagal berhubung dengan individu berkenaan dan segala komunikasi antara mereka dipadamkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.