comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penyeludup diesel simpan nombor plat kenderaan peribadi pegawai KPDN

Pegawai KPDN Perlis merampas sejumlah 640 liter diesel dan 300 liter petrol bersubsidi dalam serbuan di Kampung Melayu, disini

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

PADANG BESAR: Permintaan tinggi bagi diesel dan petrol bersubsidi di negara jiran mungkin terlalu lumayan untuk dilupakan geng penyeludup.

Meskipun satu demi satu taktik mereka dipatahkan pihak berkuasa, kegiatan penyelewengan masih berleluasa dan paling menyedihkan apabila ada rakyat tempatan  mendalanginya.

Terbaharu, geng penyeludup terbabit  dikesan menyimpan senarai nombor plat kenderaan peribadi pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dipercayai bagi memantau operasi penguatkuasaan.

Senarai nombor plat kenderaan peribadi pegawai KPDN Perlis yang disimpan penyeludup

Perkara itu didedahkan Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar hasil serbuan di Kampung Melayu, di sini  jam 7.30 pagi semalam.

“Dalam serbuan kedua, KPDN berjaya merampas 300 liter disyaki petrol yang disimpan di dalam tangki tambahan pada kenderaan berpendaftaran tempatan.

Namun pemeriksaan lanjut menemui sejumlah rekod senarai nombor pendaftaran kenderaan peribadi pegawai dan kenderaan pejabat KPDN Perlis. Kita percaya, maklumat ini digunakan mereka untuk mengetahui pergerakan anggota,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tiada individu diberkas dalam serbuan itu.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,615.

Terdahulu, dalam serbuan pertama di lokasi berdekatan, KPDN Perlis  merampas 640 liter diesel, 300 liter petrol dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM53,451.

Seorang lelaki tempatan berusia awal 20-an dan seorang lelaki bukan warganegara berusia lewat 50-an bagi membantu siasatan mengikut  Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“KPDN percaya, modus operandi mereka adalah menggunakan rakyat tempatan dan kenderaan tempatan untuk membeli diesel dan petrol bersubsidi sebelum diangkut ke stor penyimpanan untuk dijual kepada warga asing,” jelas Norazah.

Sejak 1 Mac lalu, 22 kes direkodkan di bawah Op Tiris di Perlis dan daripada jumlah itu 19 adalah rakyat tempatan dan 10 warga Thailand disiasat.

Loading...
Terkini