comscore
Tumpuan :
Jenayah

Peras ugut ‘scammer’ RM150,000, Inspektor dan 4 anggota polis direman

Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor bersama empat anggota lain direman empat hari bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM150,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua lima anggota dan pegawai itu kini dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh tahanan reman ke atas mereka berakhir semalam.

Mengulas lanjut, katanya pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada Khamis lalu mendakwa diperas ugut seorang pegawai dan beberapa anggota polis.

“Pada hari sama, kita menahan seorang pegawai polis berpangkat inspektor, seorang sarjan, dua koperal dan seorang konstabel yang disyaki melakukan pemerasan membabitkan kerugian RM150,000.

“Mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan dilengkapkan dengan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata demikian mengulas pendedahan di akaun Telegram Edisi Siasat yang mendakwa pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang melakukan pemerasan ke atas satu sindiket ‘scammer’.

Beliau berkata, setakat ini tiada wang tunai ditemukan daripada semua suspek dan polis percaya kes itu berkaitan serbuan dilakukan polis terhadap kegiatan scammer yang membabitkan warga China.

“Polis juga sedang menyiasat pengadu dan kumpulan beliau yang kemungkinan terbabit dalam aktiviti jenayah scammer itu,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini