comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pergaduhan pusat hiburan berpunca perselisihan faham, hutang

FOTO: Fail NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kejadian pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Pudu, ibu negara pada awal bulan ini dipercayai berpunca daripada perselisihan perniagaan dan hutang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, seramai 12 orang sudah ditahan.

“Setakat ini, ada 12 tangkapan, usia 20 hingga 40 tahun, mereka masih direman dan kita masih berusaha melengkapkan siasatan.

“Motif kalau dari siasatan awal kita, berpunca daripada perselisihan berkenaan modal perniagaan, hutang sebab tempat ini baru dibuka, mungkin mereka ada perselisihan mengenai tuntutan hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Putrajaya dan Pengerusi PERKEP Putrajaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini hari ini.

Dalam kejadian 10 Ogos lalu, empat lelaki cedera dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu, Pusat Perniagaan Fraser.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dan parang dilaporkan bergaduh selain turut melepaskan tembakan.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pihaknya pada sudah membuka dua kertas siasatan membabitkan merusuh dan melepaskan tembakan serta melibatkan senjata api dan senjata tajam.

“Untuk senjata api sebab ada orang mendengar bunyi tembakan, untuk senjata tajam pula sebab ada empat orang cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

“Masih ada suspek yang diburu, saya percaya ada lagi baki suspek namun (ia) bergantung kepada siasatan yang dijalankan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini