comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara guru kerugian wang pencen RM218,900 akibat ‘phone scam’

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang pesara guru di daerah ini kerugian RM218,900 apabila wang pencen dan simpanannya lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 65 tahun yang berada di rumahnya menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa dari ‘sebuah pusat perubatan’ pada 31 Ogos lalu.

Beliau berkata, suspek memaklumkan mangsa kononnya mempunyai tuntutan insurans sebanyak RM68,800, namun dinafikan mangsa.

“Pada 24 September lalu, mangsa diarahkan membuka satu akaun bagi tujuan pemantauan Bank Negara Malaysia sebelum diarahkan membuat simpanan tetap sebanyak RM5,000 ke dalam akaun berkenaan.

“Mangsa turut diminta memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji sebanyak RM201,900 ke dalam akaun sama.

“Wanita terbabit menyedari dia ditipu selepas menceritakan situasi itu kepada anaknya pada 26 September lalu. Hasil semakan dengan pihak bank semalam mendapati, baki dalam akaun banknya hanya tinggal RM100,” katanya.

Azli berkata, semakan mendapati sebanyak 20 kali transaksi dilakukan membabitkan kerugian RM218,900.

Katanya, mangsa yang tidak berpuas hati dan tertipu dalam urusan itu membuat laporan pada sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini