comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara kerajaan kerugian RM129,000 jadi mangsa scammer

 

Foto hiasan

KLUANG: Seorang pesara kerajaan di daerah ini ditipu scammer yang menyebabkannya kerugian RM129,720, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa pada mulanya dihubungi oleh pihak yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, mangsa terkejut selepas didakwa berada dalam senarai suspek yang akan ditangkap bagi kes pengubahan wang haram dan dadah.

“Pada 5 Jun lalu, mangsa menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai SKMM. Kemudian, mangsa diarahkan pula untuk berhubung dengan pegawai PDRM di Bukit Aman.

“Suspek memaklumkan segala aset serta wang dalam akaun bank milik mangsa akan dibekukan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengikuti semua arahan termasuk melakukan pemindahan wang kononnya untuk siasatan BNM, sebelum menyedari terdapat pemindahan bank ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.

“Mangsa berasa tertipu dan mengalami kerugian sejumlah RM129,720 dan membuat laporan polis mengenainya pada 11 Jun lalu,” katanya.

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini