comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara, peneroka rugi hampir RM60,000 diperdaya Macau Scam

Foto hiasan

KUANTAN: Terpedaya dengan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon pada 9 Februari lalu, membuatkan dua lelaki masing-masing pesara dan peneroka kerugian RM59,970 akibat tertipu dengan kegiatan Macau Scam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa masing-masing berusia 60 dan 74 tahun itu terpedaya dengan samaran pelaku sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis.

Katanya, kes pertama membabitkan pesara jurutera menerima SMS yang memaklumkan kad kredit digunakan untuk pembayaran E-Tomei sebanyak RM2,850.

“Mangsa kemudiannya menghubungi suspek berdasarkan nombor telefon yang diberikan untuk pengesahan dan talian kononnya disambungkan ke Bank Negara Malaysia.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan iaitu nombor akaun bank, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan kod pengesahan transaksi (TAC) miliknya.

“Selepas tiga hari, mangsa menyedari wang dalam akaun berkurangan RM29,970,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, mangsa kedua yang juga peneroka menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

Katanya, menerusi perbualan, suspek memaklumkan mangsa tidak membayar cukai pendapatan dan terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Mangsa berasa takut dan mengikut arahan suspek sehingga memindahkan sejumlah RM30,000 ke akaun bank suspek bagi tujuan penyelesaian kes.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya, langkah itu untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini