comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara rugi RM1.4 juta ditipu scammer

Foto hiasan

TAIPING: Seorang pesara bank wanita mengalami kerugian lebih RM 1.4 juta apabila diperdaya sindiket dalam talian yang menyamar sebagai pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata pada 11 Ogos lalu mangsa berusia 65 tahun menerima panggilan dari seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari SKMM.

Menurut beliau, mangsa diberitahu bahawa kad bank miliknya terbabit dalam kegiatan wang haram dan panggilan itu disambung kepada beberapa pegawai lain yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Terengganu.

Rentetan itu, mangsa diarahkan membuka tiga akaun bank lain iaitu Hong Leong Bank, Affin Bank dan Ambank untuk tujuan pindahan wang.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memasukkan kad bank berkenaan dalam satu sampul surat lalu ditinggalkan diatas rumput dialamat yang diminta suspek supaya mereka dapat mengeluarkan wang terbabit untuk tujuan siasatan.

” Malah suspek turut berjanji untuk memulangkan wang berkenaan setelah siasatan selesai.

“Bagaimana pun selepas kejadian itu mangsa menerima mesej pengeluaran wang bermula 23 Ogos hingga 11 September lalu berjumlah RM 1,440,969.83,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi menyedari dirinya ditipu mangsa membuat satu laporan polis.

“Kes masih dalam siasatan dan disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak panik sekiranya menerima panggilan dari pihak berkuasa dan menghubungi Talian Nasional Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk pengesahan sebelum membuat sebarang pindahan wang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini