comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara wanita berputih mata, RM4.7 juta wang dilaburkan lesap

PETALING JAYA: Gara-gara tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan dalam satu skim pelaburan, seorang pesara wanita berputih mata selepas RM4.7 juta wang lesap ditipu sindiket pelaburan tidak wujud pada Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mangsa berusia 63 tahun itu membuat laporan polis selepas menyedari ditipu sindiket terbabit.

“Pada pertengahan Mac 2024, pengadu telah melihat iklan pelaburan di laman Facebook berkenaan pelaburan saham.

“Pengadu telah dimasukan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diminta untuk membuka satu akaun pelaburan iaitu Foreign Direct Investment (FDI) Hub bertujuan untuk melabur dalam pasaran saham tempatan.

“Pengadu di janjikan keuntungan sebanyak 11% sehingga 13% daripada nilai pelaburan yang dibuat dan semakin lama pengadu membuat pelaburan semakin meningkat kadar peratusan keuntungan yang diperolehi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Akibat terpedaya, mangsa telah membuka akaun Foreign Direct Investment (FDI) Hub dan telah membuat 42 transaksi sehingga jumlah pembayaran sebanyak lebih RM 4.7 juta.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas tiada kemasukan wang dibuat ke akaun miliknya oleh syarikat terbabit setelah keuntungan pelaburan mencapai nilai RM11.3 juta.

“Pihak Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan pelaburan saham, mata wang cypto atau apa–apa jenis pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian melalui media sosial, yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat.

“Orang ramai diingatkan agar membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM),” jelas Mohd Iqbal lagi.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar membuat semakan terhadap mana-mana syarikat pelaburan bagi mengelak ditipu sindiket.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini