comscore
Tumpuan :
Jenayah

Petani rugi RM73,000 diperdaya ‘Inspektor Saha’

Foto hiasan

ARAU: Seorang petani kerugian RM73,000 selepas wang simpanannya lesap diperdaya sindiket Macau Scam di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kejadian bermula pada 24 Februari lalu apabila mangsa berusia 64 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa dirinya sebagai ‘Inspektor Saha’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Mangsa dimaklumkan suspek bahawa dirinya didapati terbabit dalam kegiatan jenayah pengubahan wang haram dan pihak polis kononnya mempunyai waran tangkap ke atas mangsa.

“Inspektor Saha kemudian meminta mangsa memindahkan wang berjumlah RM73,000 ke dalam dua akaun yang diberi untuk tujuan audit.

“Pemindahan akaun itu juga dikatakan bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan pihak IPK Pulau Pinang dan mangsa didapati melakukan sebanyak lapan transaksi ke dalam akaun sejak itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selepas transaksi berkenaan dilaksanakan, mangsa memaklumkan perkara itu kepada anaknya yang kemudian menjelaskan bahawa bapanya itu sudah menjadi mangsa sindiket penipuan melalui telefon.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini