KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan seludup termasuk kosmetik dan daging khinzir bernilai lebih RM330,000, kelmarin.
Rampasan menerusi operasi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan di tiga lokasi berasingan di Tumpat dan Rantau Panjang turut menahan seorang dua lelaki dipercayai ‘transporter’.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan Batalion 8 dan Batalion 9 PGA.
Katanya, serbuan pertama jam 8 pagi di Jeram Perdah membabitkan barangan runcit membabitkan nilai rampasan RM10,000 serta menahan seorang transporter.
“Serbuan kedua jam 6 petang di pengkalan haram ayam Lubok Gong, Rantau Panjang membawa kepada rampasan beberapa kotak yang mengandungi losmetik bernilai RM143,000.
“Ketika serbuan dilakukan, beberapa lelaki sedang memunggah kotak terbabit yang diseludup dari Thailand sebelum melarikan diri ke negara berkenaan menggunakan perahu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Serbuan ketiga pula jam 11 malam di pengkalan haram Yassin di Rantau Panjang berjaya merampas 400 liter minyak petrol dan 180 liter diesel bernilai RM31,464 selepas menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, serbuan terakhir jam 12 tengah malam membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan daging khinzir bernilai RM152,000.
Katanya, serbuan dilakukan di Kampung Mentua Tumpat itu dibuat selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki sebelum pemeriksaan mendapati terdapat 4,000 kilogram (kg) daging khinzir dalam kenderaan terbabit.
“Daging terbabit diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Jelasnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.