comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pijak gelandangan bertubi-tubi, seorang lelaki ditahan

KUALA LUMPUR: Dipijak bertubi-tubi oleh seorang lelaki, menyebabkan seorang gelandangan cedera dalam kejadian di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita bekerja sebagai pembantu kedai bunga berusia 21 tahun yang juga menjadi mangsa pukul lelaki terbabit jam 12.11 tengah malam tadi.

“Susulan laporan itu, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

“Lelaki terbabit direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 13 September nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan dan pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Kami sedang mengesan gelandangan terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terbabit dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, satu hantaran melalui ciapan daripada pemilik akaun Twitter @bihanuha yang menceritakan mengenai kejadian itu tular di media sosial, hari ini.

Dalam hantaran itu, pemilik akaun terbabit memaklumkan terdapat seorang lelaki secara tiba-tiba menyepak seorang wanita di sebuah kedai bunga di lokasi terbabit sebelum memijak gelandangan berkenaan yang sedang tidur berkali-kali.

Kejadian terbabit menyebabkan gelandangan berkenaan mengalami pendarahan di kepala.

Loading...
Terkini