IPOH: Seorang jurulatih selam sanggup meminjam wang daripada ahli keluarganya dan rakan-rakan selain menggunakan hasil simpanan sendiri untuk membuat pelaburan saham sebelum akhirnya ditipu sehingga kerugian lebih RM300,000.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata laporan diterima Polis Daerah Ipoh daripada wanita berusia 32 tahun itu semalam yang memaklumkan ditipu sindiket itu yang menawarkan pelaburan membeli dan menjual saham.
Katanya, mangsa mula diperkenalkan dengan iklan pelaburan berkenaan sejak 11 September tahun lalu menerusi Facebook (FB) yang kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatsApp oleh seorang wanita sebelum diminta memuat turun sebuah aplikasi bernama ‘AE Online’.
Zulkafli berkata, bagi tujuan membeli dan menjual saham, mangsa perlu membuka satu akaun di dalam aplikasi terbabit yang seterusnya menyebabkan mangsa membuat 14 transaksi pindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza berjumlah RM304,422.
“Siasatan awal polis mendapati terdapat pulangan sebanyak RM7,960 dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa pada 15 November 2024. Seterusnya mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan pulangan bagi transaksi yang lain tetapi suspek gagal dihubungi.
“Semakan yang kemudiannya dibuat oleh pengadu sendiri di beberapa laman sesawang mendapati pelaburan itu tidak wujud. Sumber kewangan yang digunakan oleh pengadu (mangsa) bagi tujuan pelaburan itu adalah hasil simpanan serta pinjaman dari ahli keluarga serta rakan-rakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkafli dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mempersoalkan kebenaran maklumat yang diberikan untuk skim pelaburan.
“Ungkapan ‘jaminan’, pulangan tinggi dengan sedikit risiko atau tiada risiko, seminar atau atau nasihat percuma kebanyakannya adalah satu penipuan,” katanya dengan memakkumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.