comscore
Tumpuan :
Jenayah

POCA Tidak Menginsafkan Ketua Geng Ah Hau

FOTO: NSTP

SERDANG: Seorang penjenayah tegar yang baru dibebaskan daripada tahanan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak dua bulan lalu menubuhkan satu kumpulan untuk memecah masuk kediaman mewah di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan dikenali sebagai Geng Ah Hau itu terbongkar selepas dalang utama itu serta empat lagi individu ditahan dalam serbuan berasingan di Sentul, Kuala Lumpur dan Kajang pada 25 Ogos lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik sebuah rumah di Bandar Puchong Jaya, di sini, yang mengalami kerugian kira-kira RM100,000 selepas dipecah masuk penjenayah pada 22 Ogos lalu.

“Hasil risikan dan maklumat diterima, kami menahan lima individu termasuk dalang utama kumpulan ini berusia 36 tahun serta empat individu lain termasuk seorang wanita berusia antara 27 hingga 46 tahun dalam serbuan berkenaan.

“Polis turut merampas pelbagai barangan berharga yang disyaki hasil kegiatan pecah rumah di sekitar Lembah Klang termasuk empat kereta mewah, barang kemas serta jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan kediaman mewah di sekitar Lembah Klang menggunakan kereta sewa mewah yang ditampal dengan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

“Kumpulan ini akan ‘memilih’ untuk memecah masuk rumah yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), tiada sistem penggera keselamatan serta tiada pengawal keselamatan.

“Mereka akan pecah masuk rumah pada waktu siang ketika penghuni tiada di rumah dan mengumpil pintu kediaman untuk memecah masuk.

“Hasil pecah rumah itu dipercayai dijual kumpulan terbabit melalui orang tengah selain mempromosikannya di platform media sosial,” katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati dalang utama kumpulan itu yang juga penganggur mempunyai 46 rekod jenayah, tujuh rekod dadah dan satu rekod POCA.

“Suspek ini baru saja dibebaskan dari tahanan POCA di Baling, Kedah sejak dua bulan lalu dan dia aktif melakukan kegiatan jenayah pecah rumah selepas dibebaskan.

“Semakan dilakukan mendapati empat lagi suspek yang ditahan juga mempunyai rekod jenayah antara satu hingga 34 rekod membabitkan kes jenayah serta dadah selain dikehendaki bagi kes dadah dan jenayah,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lima suspek terbabit didapati kesemuanya positif dadah jenis methaphetamin.

“Dengan penahanan suspek berkenaan, kami berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah membabitkan daerah ini, Ampang Jaya, Gombak, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

“Semua suspek masih dalam reman dan akan diserahkan kepada pihak polis di daerah lain yang terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menyarankan orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai sebarang individu yang mencurigakan di kawasan perumahan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini