JOHOR BAHRU: Polis memberkas sepasang kekasih dan merampas dadah seberat 14 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM2.4 juta dalam dua serbuan berasingan di Iskandar Puteri, pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan dilakukan Bahagian Jenayah Narkotik di Iskandar Puteri, tempat meletak kereta di Mutiara Rini, dan Taman Tun Aminah antara jam jam 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi.
Katanya, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki, 33, serta seorang wanita, 31, yang berada dalam kereta jenis Toyota Vios hitam.
“Kita berjaya merampas dadah yang diletakkan dalam bonet kereta berkenaan.
“Kereta itu dijadikan stor penyimpanan dadah bergerak dan ia menjadi modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Beliau menambah, hasil soal siasat terhadap pasangan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Tun Aminah.
Hasilnya, polis berjaya merampas dadah termasuk 14,401 gram serbuk ekstasi, 24.58 gram ketamin; 2.75 gram syabu dan 19.48 gram pil ekstasi bernilai.
Ujarnya, semua dadah terbabit dianggarkan bernilai RM2.412 juta dan boleh digunakan oleh lebih 72,000 penagih.
Pelbagai jenis barang disita termasuk barang kemas bernilai RM15,573 dan wang Thailand berjumlah 2,170 bath dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2,428,727.
Tambah Datuk Kumar, dadah terbabit dijual pada harga RM200 hingga RM300 sepeket dalam bentuk serbuk minuman.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati pasangan itu positif dadah jenis ketamin dan benzodiapines manakala semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau dadah.
Pasangan berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula 28 Disember lalu hingga 3 Januari ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau boleh disebat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.