
GEORGETOWN: Polis Pulau pinang bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM6 juta.
Susulan itu enam lelaki yang terdiri daripada lima warga asing dan seorang warga tempatan ditahan dalam operasi terancang yang dijalankan antara Rabu sehingga semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penahanan suspek pertama dilakukan pada jam 7 petang, Rabu lalu dan menemukan lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 183 kilogram (kg) dalam kereta yang dinaikinya.
“Suspek keenam yang ditahan pada jam 4 pagi semalam berusia 40-an dan polis menemukan wang tunai bernilai RM500,000 dalam kenderaan dinaikinya.
“Kesemua suspek masing-masing dua bekerja sebagai buruh binaan, penganggur (dua) dan dua lagi nelayan,” katanya pada sidang media di PPM Batu Uban di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif pada pertengahan tahun 2022 dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 9 juta penagih sekiranya ia dipasarkan.
Menurut Mohd Shuhaily lagi, bot yang dirampas di Sungai Juru dipercayai digunakan bagi membawa dadah ke Langsa, Acheh yang mengambil masa selama tiga jam menerusi perjalanan laut.
“Masih terlalu awal bagi kita menentukan dalang sindiket, dadah dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur dan dibawa Pulau Pinang sebelum dihantar ke negara jiran menerusi laluan laut.
“Kesemua warga asing berkenaan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ini adalah rampasan dadah kedua terbesar bagi tahun ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut seksyen 38b Akta Dadah Berbahaya 1952.