comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buka 6 kertas siasatan kesalahan pasca PRU-15

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka enam kertas siasatan di lima negeri atas pelbagai kesalahan pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.

Pengarah Operasi PRU-15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, jumlah itu membabitkan dua kertas siasatan di Kelantan dan masing-masing satu kertas siasatan di Perak, Melaka, Sabah dan Johor.

“Kertas-kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 298/505 (b) Kanun Keseksaan selain beberapa kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“Tiada tangkapan dibuat di seluruh negara, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, salah satu kes yang diterima pihaknya semalam membabitkan rakaman video seorang lelaki yang tular di dalam kumpulan sembang WhatsApp yang dilaporkan di Tangkak, Johor.

“Dalam rakaman video itu, lelaki berkenaan menyatakan Masjid Tangkak diroboh akan diroboh dengan orang Islam menjadi kafir dan biar habis orang Islam.

“Pengadu yang membuat laporan itu memaklumkan dia mengenali dan mahu bertemu individu berkenaan serta meminta mereka yang berada dalam kumpulan sembang terbabit supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berkata, sebanyak 3,483 laporan diterima pihaknya bagi tempoh 4 November lalu hingga semalam.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 515 kertas siasatan dibuka dan 180 kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, tujuh lagi kertas siasatan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dengan enam kes sudah dituduh di mahkamah, manakala empat lagi kes sudah dijatuhkan hukuman sepanjang tempoh berkenaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini