
KUALA LUMPUR: Biarpun penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ dibatalkan semalam, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu selepas menerima laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima laporan yang mana beberapa percakapan dirakam.
Menurutnya, pengadu dan saksi sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan.
“Kita juga sudah menghubungi salah seorang wakil NGO terbabit yang memberi aku janji akan hadir ke IPD Sentul esok untuk dirakam percakapan.
“Selepas kertas siasatan dilengkapkan ia akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sidang media selepas Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di Esplanade, Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.
Program ‘Jom Ziarah Gereja’ adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu NGO yang bernaung di bawah KBS.
Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak membabitkan individu beragama Islam.
Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan di hadapan Sogo dan Dataran Merdeka, Azmi berkata, seramai tujuh individu termasuk penganjur sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Kita menjangkakan akan merujuk kertas siasatan yang dilengkapkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Selasa ini,” katanya. – HARIAN METRO