comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis cari lelaki bantu kes buli jalan raya

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes buli jalan raya membabitkan dua pemandu kenderaan di Jalan Persiaran Surian, Kota Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata satu laporan diterima berhubung kejadian itu pada jam 4.40 petang daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang menjadi mangsa dalam kejadian itu.

Katanya, ketika mangsa memandu di lokasi, sebuah kenderaan jenis Ford dari arah belakang memintas dan menghimpit kenderaannya sebelum kenderaan itu berhenti di hadapan kenderaannya.

“Mangsa membunyikan hon beberapa kali tetapi tidak diendahkan. Pemandu Ford itu kemudian keluar menghampiri kenderaan mangsa dan mengarahkan mangsa keluar daripada kenderaannya.

“Suspek kemudian cuba membuka pintu kenderaan mangsa namun tidak berjaya. Mangsa kemudian terus memandu ke Balai Polis Kota Damansara untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum kejadian, katanya, mangsa sedang memandu di sebuah laluan yang agak sesak dan beberapa kali terpaksa menekan brek untuk mengelak daripada terlanggar kereta di hadapan.

“Tiada kecederaan atau kerosakan dialami mangsa dalam kejadian itu.

“Punca kejadian masih disiasat dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu,” kata Nik Ezanee.

Loading...
Terkini