comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis cedera dilanggar motosikal cuba lari sekatan polis

Motosikal yang terbabit dalam kejadian sarjan polis cedera dilanggar. FOTO: Ihsan Polis

KEMAMAN: Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar sebuah motosikal ketika mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di Bandar Chukai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang ketika anggota berpangkat sarjan itu bersama lima anggota lain sedang mengadakan SJR di Jalan Limbong Chukai.

Menurutnya, ketika itu, datang sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang seorang lelaki melalui SJR di situ.

“Ketika mengarahkan lelaki itu memberhentikan motosikal yang ditunggang itu untuk diperiksa, lelaki itu bertindak memecut untuk meloloskan diri.

“Anggota polis terbabit cuba untuk menahannya namun telah dilanggar oleh motosikal berkenaan,” katanya.

Hanyan berkata, anggota lain yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya telah berjaya menahan suspek.

“Berikutan kejadian itu, sarjan terbabit cedera di bahagian tangan manakala penunggang motosikal berusia 26 tahun itu turut cedera sebelum kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal terbabit telah tamat tarikh cukai jalan dan pemiliknya juga telah melakukan pengubahsuaian yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan,” katanya.

Katanya, suspek dan motosikalnya telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD , Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 42 ( 2 ) Akta Pengangkutan Jalan, APJ, 1987.

Loading...
Terkini