comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis digesa siasat Muhyiddin, dakwaan campur tangan pihak atasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa wujud campur tangan pihak atasan menggunakan agensi penguat kuasa bagi mencapai tujuan politik.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan dilemparkan Presiden BERSATU terbabit adalah tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

“(Tohmahan) Ini seolah-olah menggambarkan bahawa wujudnya campur tangan di peringkat tertinggi yang memberikan arahan kepada pihak penguat kuasa dan pihak pendakwaan yang mana seolah-olah mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab bukan atas kerelaan tapi atas telunjuk atau arahan pihak tertentu,” katanya yang ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau yang tampil membuat laporan atas kapasiti individu berkata, Anwar turut mengeluarkan beberapa kenyataan sebelum ini yang menegaskan kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan pendakwaan.

Muhyiddin dalam sidang media selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, mendakwa pendakwaan terhadapnya dibuat lebih awal oleh pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan dan pendakwaan ke atas beliau adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

Sejurus itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai, sementara 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan kes.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata, SPRM dan AGC melakukan siasatan serta pendakwaan dengan bebas dan berintegriti berdasarkan fakta yang diperolehi dan dapatan hasil siasatan.

“Justeru kenyataan Muhyiddin ini adalah satu kenyataan fitnah serius yang kita tidak boleh biarkan berlalu begitu sahaja dan perlu ada tindakan tuntas oleh pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan yang dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A.Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Loading...
Terkini