comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis giat buru suspek kes tembak penyelia pengawal keselamatan

FOTO: NSTP

KLANG: Polis sedang giat menjejaki suspek yang menembak penyelia pengawal keselamatan dalam kejadian di pekan Kapar pada 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao berkata, walaupun tiada petunjuk jelas, usaha mengesan dan memburu suspek sedang giat dijalankan.

Beliau berkata siasatan mendapati kenderaan yang dinaiki suspek semasa kejadian, menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di sekitar lokasi kejadian namun setakat ini tiada petunjuk jelas dapat membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara kepada Supt Mohd Rahimi Zainol serta majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Tambahnya semakan terhadap mangsa berumur 46 tahun yang cedera terkena tembakan di tangan kanan, rusuk kanan dan bahu kanan, didapati mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, beliau berkata lima suspek yang ditahan bagi membantu siasatan telah dilepaskan selepas berpuas hati dengan keterangan yang diberikan.

Semua yang ditahan merupakan rakan mangsa berada di tempat kejadian dan siasatan mendapati mereka tidak terlibat dengan kejadian itu, katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini