comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis giat kesan suspek terlibat kes gaduh

Tangkap layar daripada video tular mengenai sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu insiden pergaduhan di sebuah kedai makan di Taman Impian Emas, Skudai di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan masih belum ada laporan diterima pihaknya khususnya daripada mangsa dalam insiden pergaduhan berkumpulan melibatkan penggunaan parang seperti dipaparkan melalui video tular hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata begitu pun pihaknya tetap giat mengesan individu yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kira-kira jam 11.50 malam semalam, Pusat Kawalan Daerah Johor Bahru Utara menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di dalam sebuah kedai makan di Taman Impian Emas, Skudai di sini,” katanya.

Tambahnya, semua suspek telah melarikan diri sebaik pasukan polis tiba di tempat kejadian.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Faez Rahim di talian 011-11905471.

Menurut Balveer Singh, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteramaan awam dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, tular video berdurasi 45 saat memaparkan kejadian gaduh di kedai makan itu dipercayai dirakam orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Dalam rakaman video itu, kelihatan beberapa individu saling menyerang dengan ada yang membaling kerusi dan meja, selain kelihatan ada individu yang memegang parang.

Loading...
Terkini