HONG KONG: Polis Hong Kong membuat rampasan dadah jenis syabu bernilai RM116 juta daripada seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia.
Lelaki berkenaan, berusia 26 tahun turut ditahan atas dakwaan terlibat dalam pengedaran dadah tersebut.
Memetik laporan South China Morning Post, Pegawai Biro Dadah polis Hong Kong, Superintenden Cheung Hok-fung berkata, rampasan pada Sabtu menemui bahan yang disyaki 335 kg syabu pepejal dan 55 kg kokain dalam 25 daripada 245 kotak yang tersembunyi dalam perabot.
Dadah-dadah tersebut ditemui dalam sebuah kontena penghantaran yang tiba dari Amerika Syarikat ke Hong Kong pada Selasa, tambahnya.
Cheung berkata sindiket itu telah meminta sebuah syarikat logistik untuk mengambil kontena tersebut dan memindahkan barang-barang ke sebuah gudang di Yuen Long pada Khamis.
Polis telah menyerbu gudang pada hari yang sama dan menemui suspek warga Malaysia berkenaan sedang membuka barang-barang, bersama-sama dengan sarung tangan dan timbangan elektronik di tempat kejadian.
Suspek yang memasuki Hong Kong sebagai pelancong setahun lalu, kini didakwa dengan satu tuduhan pengedaran dadah di mahkamah Tuen Mun esok.
Inspektor Kanan Tong Wai-kwok berkata, sindiket itu didakwa berpusat di Malaysia telah merekrut warga asing untuk terlibat dalam pengedaran dadah dan memecahkan operasi penyeludupan mereka kepada bahagian-bahagian kecil untuk mengelak pengesanan.
“Kami percaya sindiket di Malaysia telah merekrut warganya untuk datang ke Hong Kong berulang kali bagi tujuan pengedaran dadah,” katanya.
Menurut undang-undang Hong Kong, pengedaran dadah berbahaya boleh dikenakan denda HK$5 juta dan hukuman penjara seumur hidup.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.