JOHOR BAHRU: Bekas banduan yang baharu dibebaskan dari tahanan pada Julai 2022, diberkas polis selepas disyaki menjadi dalang dalam satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak September tahun lalu.
Lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan bersama empat lagi individu dipercayai ahli sindiket dalam operasi dijalankan antara jam 12.30 tengah malam, 5 Januari lalu hingga 8 malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek lelaki itu ditahan dalam serbuan pertama di sebuah kondominium mewah di Bandar Seri Alam di sini, yang disewa sejak Julai 2023 bersama dua lagi lelaki dan seorang wanita, manakala dalam serbuan kedua di Gelang Patah, Iskandar Puteri, seorang lagi wanita ditahan.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan kondominium mewah berpagar dan berpengawal sebagai stor simpanan dan membungkus semula dadah yang mana bekalan dadah diperoleh dari luar Johor sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Hasil serbuan itu, kita merampas 73.55 kilogram (kg) serbuk ekstasi; 20.29 kg ketamin; 9,750 biji pil erimin dan 26 biji pil ekstasi yang bernilai lebih RM13.59 juta.
“Semua dadah itu jika terlepas ke pasaran, boleh digunakan oleh 357,126 penagih dadah.
“Selain itu, polis turut merampas pelbagai peralatan pembungkusan semula dadah selain menyita tiga kereta, sebuah motosikal, jam tangan, pelbagai barang kemas, wang tunai RM550 dan akaun syarikat dengan jumlah RM87,741.80 yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah itu.
“Ini menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan berjumlah lebih RM14.2 juta,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Menurut Kumar, hasil ujian saringan awal air kencing semua suspek warga tempatan yang berusia antara 24 hingga 29 tahun itu, tiga daripada mereka positif ketamin dan seorang daripadanya mempunyai rekod sabitan kes dadah.
“Suspek yang disyaki dalang sindiket pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 berhubung aktiviti pengedaran dadah pada 2021,” katanya.
Katanya, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
Pada masa sama, beliau berkata, polis sedang mengenal pasti ahli lain yang terbabit, serta seorang wanita bernama Chang Siew Yin, 38, beralamat di Melaka yang dipercayai boleh membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.