Tumpuan :
Jenayah

Polis kesan individu pukul lelaki OKU di Dataran Shah Alam

Foto hiasan

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memukul sehingga mencederakan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Dataran Shah Alam 10 Nov lepas, yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian 9 malam itu, mangsa berusia 48 tahun berada dalam kereta seorang diri di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek yang bertindak menghalau mangsa.

Beliau berkata susulan itu terjadi pertengkaran sehingga berlaku pergelutan antara kedua-dua lelaki warga tempatan itu.

“Semasa kejadian, suspek terlebih dahulu bertindak memukul mangsa dengan tangan sebelum mangsa membalas pukulan suspek. Kejadian telah dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa yang merupakan pemegang kad OKU mental mengalami kesan calar pada bahagian lengan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.
— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini