KUALA LUMPUR: Polis masih memburu dua lagi rakan suspek yang mati ditembak polis di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua lelaki diburu kerana turut disyaki terbabit dalam kes jenayah pecah kedai di Damansara, Petaling Jaya.
“Kita masih memburu mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang juga penjenayah dikehendaki dan mempunyai 26 rekod jenayah lampau maut ditembak selepas merempuh kenderaan polis dan orang awam di Kampung Baru Kundang, Rawang.
Lelaki berusia 30-an yang pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) itu disyaki terbabit dalam kes pecah kedai di Damansara.
Dalam kejadian 1.15 pagi itu, suspek enggan memberhentikan kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya lalu bertindak mengundurkan kenderaan secara laju dan merbahaya sebelum merempuh kenderaan polis serta orang awam yang berada di lokasi.
Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kenderaan suspek sehingga mengakibatkan kenderaannya terbabas.
Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, Hussein dilaporkan berkata, polis menyelamatkan lelaki warga Indonesia yang menjadi mangsa culik suspek.
Mangsa dipercayai diculik di kawasan Salak South, Cheras dan ditemui selamat ketika operasi di Kundang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.