comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis Rampas Arak Guna Cop Kastam Palsu Elak Cukai

Foto: HARIAN METRO

JOHOR BAHRU: Sekali pandang nampak seperti asli, tetapi rupanya minuman keras tiruan selain menggunakan kod QR Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) palsu dan tidak bercukai.

Perbuatan dilakukan seorang pemilik kedai runcit dan peniaga itu berjaya dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor yang menjalankan serbuan di stor simpanan minuman keras itu di Jalan Riang Utama, Taman Gembira, di sini, Khamis lalu.

Dalam serbuan kira-kira 7 malam, polis menemui pelbagai jenama minuman keras di dalam stor berkenaan yang terletak di atas kedai runcit terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu disyaki membawa keluar minuman keras dalam kuantiti banyak dari kawasan zon bebas cukai untuk dipasarkan secara runcit di sekitar daerah ini dengan menggunakan kenderaan persendirian.

“Kita merampas 146 kotak mengandungi 951 botol pelbagai jenama arak tiruan berjumlah 3,426.42 liter, selain merampas 149 karton mengandungi 6,168 tin minuman keras dengan nilai rampasan RM305,252.85.

“Arak ini menggunakan kod QR JKDM palsu bagi mengaburi pengguna. Pemeriksaan lanjut juga mendapati kod QR itu tidak boleh diimbas menggunakan aplikasi Sistem Cukai Kastam.

“Harga pasaran minuman keras ini sekitar RM150 hingga RM170, tetapi bagi arak tidak bercukai itu dijual sekitar RM7.50 hingga RM8 setin berbanding RM3.50 setin di kawasan zon bebas cukai,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Beliau berkata, suspek dipercayai aktif melakukan perbuatan itu sejak tiga bulan lalu.

“Kita sedang menyiasat dari mana suspek memperoleh bekalan samsu (arak) haram itu serta mengesan pihak lain yang terbabit,” katanya.

Katanya, suspek direman 10 hari bermula kelmarin hingga 11 September depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Memperbaharui Undang-undang (Penghapusan Samsu Gelap). – Harian Metro

Loading...
Terkini