Tumpuan :
Jenayah

Polis Sabah tembak mati seorang lagi penjenayah dikehendaki

Polis menembak mati seorang lagi penjenayah yang dikehendaki di sebuah bangunan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam, di sini, awal pagi tadi. -FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Seorang lagi penjenayah yang dikehendaki mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di sebuah bangunan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam di sini, awal pagi tadi.

Suspek berusia 59 tahun itu juga dipercayai rakan tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian di Beverly Hill, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 2.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota JSJ D9 (Siasatan Khas) menyerbu sebuah bilik di bangunan berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan menyebabkan pasukan serbuan bertindak melepaskan tembakan balas bagi melindungi keselamatan serta nyawa anggota polis.

“Dalam kejadian itu, suspek disahkan mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi tadi.

Anggota polis forensik dilihat memasuki bangunan yang diduduki oleh seorang penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan serbuan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam di Kota Kinabalu. FOTO: NSTP

Menurutnya, suspek yang dikehendaki ini berasal dari Sarawak.

“Kita percaya suspek ini adalah rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk kes bunuh di Sarawak.

“Dengan tumpasnya keempat-empat suspek ini, kita berjaya menumpaskan kesemua penjenayah yang dikehendaki ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Semalam, pasukan polis dari D9 JSJ Kontinjen Sabah menembak mati tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di Beverly Hill.

Dalam kejadian jam 9.13 malam itu, ketiga-tiga penjenayah berasal dari Sarawak berusia lingkungan 40 hingga 50-an mati di lokasi kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini