comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis serbu ‘port’ mat rempit di Batu Pahat

BATU PAHAT: Sebanyak 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menunggang tanpa lesen, manakala lima motosikal dibawa ke balai polis untuk periksa dalam operasi cegah jenayah di sekitar daerah ini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata operasi itu dijalankan berikutan aduan orang awam terdapat aktiviti sekumpulan penunggang motosikal kerap membuat bising pada waktu malam.

Katanya, operasi bermula pada jam 8 malam dan berakhir 4 pagi tadi mengesan terdapat beberapa motosikal yang diubahsuai sehingga mengeluarkan bunyi bising dan mengganggu orang ramai.

“Hasil pemeriksaaan secara rambang, sebanyak 21 penunggang motosikal diperiksa dan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu. Lima buah motosikal pula dibawa ke Balai Trafik Batu Pahat untuk pemeriksaan selanjutnya.

“Operasi ini disertai seorang pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) bagi mencegah samseng jalanan di sekitar bandar Batu Pahat yang kerap menjadi ‘port’ mat rempit berkumpul dan membuat bising pada hujung minggu,” katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang melanggar kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan kegiatan tidak sihat ini,” katanya.

Loading...
Terkini