comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis siasat kes pedofilia di MRSM Tumpat

Foto hiasan

KOTA BHARU: Polis Kelantan telah memulakan siasatan ke atas kes membabitkan seorang guru yang didakwa pedofilia di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tumpat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menerima laporan berhubung isu itu semalam.

Katanya, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis  Daerah (IPD) Tumpat.

“Susulan laporan itu, polis telah membuka kertas siasatan,” katanya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan untuk membuat atau menyebarkan komen secara dalam talian.

Mengikut laporan yang disiarkan awal hari ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mengarahkan satu siasatan segera dan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan seorang guru terlibat perbuatan pedofilia di MRSM Tumpat.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata satu pasukan dari Ibu Pejabat Mara telah dibentuk dan akan ke MRSM Tumpat bagi menjalankan siasatan.

Asyraf berkata beliau sudah mengarahkan siasatan menyeluruh ke atas kes itu dijalankan segera.

“Sementara itu, guru terlibat telah digantung sehingga siasatan lengkap,” katanya.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

28 Mac lalu, seorang individu memuat naik ke satu laman media sosial mendakwa seorang guru di MRSM Tumpat yang diketahui pedofilia masih dibenarkan mengajar di sekolah berasrama itu.

Individu terbabit mendakwa beliau dimaklumkan oleh juniornya bahawa guru itu masih aktif mengajar walaupun terdapat pelbagai dakwaan terhadapnya.

Beliau mendakwa pernah menerima beberapa amaran daripada seniornya semasa dia berusia 13 tahun berhubung perbuatan tidak senonoh guru terbabit terhadap beberapa pelajar wanita yang dikategorikan sebagai cantik.

Beberapa tahun kemudian, ketika dia pula menjadi pelajar senior, dia juga pernah mengingatkan pelajar di bawahnya supaya berhati-hati dengan tingkah laku guru terbabit.

Beliau dan beberapa rakannya mendakwa mereka turut menjadi mangsa kepada guru pedofilia itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini