comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis sudah kenal pasti lelaki baling botol ke Lebuh raya

Foto: Tangkap layar video tular lelaki baling botol ke arah lebuh raya.

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti individu yang dirakam membaling botol minuman keras ke Lebuhraya AKLEH, berhampiran susur keluar Jalan Sultan Ismail, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata ketika ini proses mengesan suspek sedang dilakukan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu terbabit dan tindakan mengesannya sedang dilakukan.

“Polis juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 43 saat dimuat naik pemilik akaun melalui Tiktok atas nama @syrupboy memaparkan seorang lelaki membaling botol minuman keras ke luar tingkap kediaman bertingkat ke arah Lebuhraya AKLEH.

Berdasarkan rakaman itu, suspek membaling botol dari residensi mewah di Jalan Cendana di Kampung Baru, di sini, semasa kesesakan jalan raya sedang berlaku.

Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata, perbuatan suspek adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang itu.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis KL di talian 03-21159999,” katanya.

Loading...
Terkini