Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah bernilai RM1.99 juta

Polis menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri di sini Rabu lalu.

Oleh: Kadir Edison

MIRI: Polis menahan dua lelaki warga tempatan selepas menemukan dadah benilai RM1.99 juta ringgit dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri di sini Rabu lalu.

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 dan 42 tahun ditahan ketika cuba mendapatkan bagasi yang mengandungi pelbagai jenis dadah seberat 21.93 kilogram (kg) di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan dadah terbabit dibawa masuk ke Miri dari semenanjung menggunakan pengangkutan udara.

“Siasatan awal kita mendapati kedua-dua suspek ini masing-masing berumur 36 dan 42 tahun mengambil upah sebanyak RM5,000 bagi membawa masuk dadah ini ke Miri.

“Dadah-dadah ini iaitu jenis pil Eramin 5 seberat 10.83 Kilogram, pil Ekstasi seberat 4.1 kilogram dan dadah jenis Syabu seberat 7 kg dipercayai untuk pasaran tempatan di Miri dan sekitarnya yang dianggar boleh digunakan seramai 102,817 penagih,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, semakan terhadap kedua-dua suspek mendapati, salah seorang daripada mereka mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah curi, pecah rumah dan dadah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek turut mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Benzo.

Kedua-dua suspek kini direman enam hari sehingga 13 November ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini