Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan 2 lelaki warga asing disyaki terbabit kes wanita dibunuh dalam bilik hotel

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang wanita di sebuah hotel di Taman Mawar, Puchong dekat sini, malam tadi.

Mangsa yang juga dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dalam sebuah bilik hotel terbabit.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung insiden pembunuhan itu pada jam 10.15 malam tadi.

Hasil siasatan, polis menahan dua lelaki warga asing, kedua-duanya berusia 39 tahun di Bukit Puchong, jam 3 pagi tadi.

“Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif pembunuhan serta hubungan mangsa dengan kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari hingga 6 Januari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Anbalagan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Dalam pada itu, Anbalagan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Siti Zamarah Jamaludin di talian 03-80742222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini