Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan 4 individu disyaki dalang 11 kes ragut

Foto hiasan

SERDANG: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes ragut rantai emas di Taman Mawar, Puchong, pada 3 Januari lalu.

Kesemua suspek memiliki 21 rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata kejadian berlaku pada jam 4.40 petang apabila seorang lelaki meragut rantai leher mangsa dari arah belakang sebelum melarikan diri menaiki motosikal merah.

Mangsa gagal mengenal pasti nombor pendaftaran dan jenis motosikal terbabit, dengan kerugian dianggarkan RM8,000.

“Bertindak atas maklumat, polis melancarkan operasi khas dari 16 hingga 18 Januari. Suspek pertama ditahan di Petaling Jaya, manakala suspek utama bersama dua lagi rakannya ditahan sejurus tiba di KLIA selepas bercuti dalam negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasil siasatan mendapati tiga daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan narkotik. Ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif dadah.

Polis turut merampas motosikal, topi keledar, pakaian, serta beberapa barangan kemas dan peranti elektronik yang dipercayai hasil jenayah.

“Dengan penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan 11 kes samun dan ragut di Serdang, Petaling Jaya serta Subang Jaya, membabitkan kerugian sekitar RM40,000. Suspek kini direman sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini