Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan 7 lelaki di Cheras, Ayer Keroh terbabit kes pecah rumah, curi kenderaan

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail (depan). – Foto fail NSTP

AMPANG JAYA: Tujuh lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar Cheras dan Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

Semua suspek warga tempatan sebelum itu dilaporkan terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Dato Ahmad Razali di sini, 26 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan dibuat mangsa kejadian kira-kira jam 5 pagi hari berkenaan.

“Mangsa yang berada di rumahnya itu mendengar bunyi bising di bahagian tingkat bawah.

“Mangsa yang melakukan pemeriksaan kemudiannya mendapati kunci rumah, beberapa utas jam tangan dan dompet selain kenderaan miliknya yang diparkir di hadapan rumah telah tiada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, anggaran kerugian dialami mangsa berjumlah kira-kira RM58,000.

Katanya, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sekitar kawasan Cheras dan Ayer Keroh pada Khamis.

“Serbuan berkenaan berjaya memberkas tujuh lelaki tempatan berumur lingkungan 27 hingga 45 tahun serta merampas satu kenderaan jenis Honda CRV milik mangsa dan beberapa barangan lain dilaporkan dicuri,” katanya.

Mohd Azam berkata, semakan mendapati semua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek juga positif dadah.

“Siasatan mendapati motif mencuri kenderaan adalah untuk dijual kepada pembeli secara haram,” katanya sambil mengesahkan kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini