comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lelaki buat ugutan terhadap Perdana Menteri

Foto hiasan

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan seorang lelaki semalam selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada 10.30 malam di pekarangan Balai Polis Binjai di sini, susulan satu laporan polis yang diterima.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lebih kurang 12 tengah hari semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan terkesan dengan satu ciapan yang memaparkan tangkap layar individu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan ‘boleh pasang nanti bang Non Mai Klate, kasi ajar sikit’ untuk membaling mercun bom.

Katanya, ciapan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Mat Sekilau/Membalak@apanakdikato.

“Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasil pemerhatian mendapati sumber asal posting dimuat naik oleh suspek di akaun TikTok @najibnafi99, walau bagaimanapun semakan mendapati video itu sudah dipadam.

“Bertindak atas laporan polis yang diterima, tangkapan dibuat ke atas suspek,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari yang bermula hari ini sehingga 30 April ini untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233.

Loading...
Terkini