comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lelaki disyaki dalang kes ragut

Suspek sembilan kes ragut sekitar Setapak dan Wangsa Maju yang ditahan bersama barang rampasan. – FOTO: PDRM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki, yang disyaki mendalangi sekurang-kurangnya sembilan kes ragut di sekitar Setapak dan Wangsa Maju dekat sini, ditahan polis semalam.

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di Flat Taman Melati, di sini kira-kira jam 10.45 pagi.

Penahanan dilakukan selepas kira-kira dua jam polis menerima satu laporan kejadian ragut yang berlaku di Lorong Mas Ria 3, Taman Bunga Raya, Taman Melati, Wangsa Maju pada jam 8.36 pagi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pemeriksaan di kediaman suspek menemui pelbagai barangan berharga yang dipercayai hasil ragut.

“Kita rampas sebuah motosikal Yamaha Y15 dipercayai digunakan suspek untuk meragut, satu iPad, satu beg penghantar makanan, dua dompet serta 21 wang kertas negara dan tiga paket plastik kecil berisi syabu.

“Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku terbabit dengan sembilan kes ragut di sekitar Setapak dan Wangsa Maju dan dengan tertangkapnya suspek, kita percaya berjaya menyelesaikan kesemua sembilan kes terbabit,” katanya.

Suspek kini direman enam hari sehingga 22 Mac ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun/ragut).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dalam pada itu, katanya pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini