comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lelaki, rampas dadah bernilai lebih RM106,000

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai dadah dianggar bernilai RM106,650 daripadanya dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Seri Petaling, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira 4.20 pagi manakala dadah dirampas melibatkan serbuk MDMA dianggar seberat 2.3 kilogram, pil ekstasi (108.4 gram) serta ketamin (20.6 gram).

Beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai terlibat mengedar dadah secara bersendirian kira-kira dua bulan lepas, namun polis sedang menyiasat lebih lanjut sama ada terdapat penglibatan individu lain.

“Pemeriksaan menemukan sebuah dapur kecil bagi memproses dadah di rumah disewa lelaki itu dan dia dipercayai mempelajari cara memproses dadah menerusi Internet,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ku Mashariman berkata, pihaknya percaya dadah terbabit untuk edaran sekitar Lembah Klang dan lelaki itu berurusan secara terus kepada pelanggan atau mana-mana pihak yang dikenali melalui aplikasi telefon bimbit.

Beliau berkata lelaki itu didapati menjalankan kegiatan terbabit dengan menggunakan keretanya dan 30 hingga 50 gram dadah berkenaan dijual pada harga RM200 hingga RM250.

Menurut Ku Mashariman pihaknya turut merampas peralatan dipercayai bagi memproses dadah seperti ketuhar gelombang mikro, beberapa alat pengisar, alat penimbang, balang kaca selain wang tunai RM100.

“Lelaki itu yang memiliki 10 rekod jenayah lampau dan positif terhadap dadah jenis amphetamine serta methamphetamine direman hingga 24 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini